Panorama

Selamat Hari Raya Aidlfitri 1429 عيدالفطري

Saturday, September 20, 2008

SMKA TOK JIRING terus menjadi yang terbaik

#SUBJEK BIOLOGY 4 TAHUN BERTURUT-TURUT TERBAIK SMKA MALAYSIA.

#SUBJEK SYARIAH ISLAMIAH TERBAIK MALAYSIA 2006.

#SUBJEK PRINSIP AKAUN, PENDIDIKAN AL-QURAN AS-SUNNAH TEMPAT KEDUA TERBAIK SMKA MALAYSIA.

#ENGLISH FOR SCIENCE AND TECHOLOGY TEMPAT KETIGA TERBAIK SMKA MALAYSIA.

#HASANAH MAHMUD TOP 40 TERBAIK PMR 2007.

Monday, April 28, 2008

Tokoh agama ulung Terengganu



Tok Guru Haji Abbas terkenal dengan prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah

SETIAP kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terengganu akan muncul antara sekolah yang sering mencatatkan keputusan membanggakan. Sekolah itu yang asalnya adalah sekolah pondok diasaskan oleh seorang tokoh agama Terengganu yang besar sumbangan terhadap pendidikan, iaitu Datuk Abas Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Abbas.

Pondok Tok Jiring yang terkenal pada 1953 berkembang menjadi sebuah sekolah menengah agama sehingga kerajaan negeri mengambilalih pentadbirannya pada 1962 sebelum Kementerian Pelajaran mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah menengah agama termoden di Terengganu pada 1976. Siapakah sebenarnya Haji Abas? Tokoh agama ini dilahirkan di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To' Guru Haji Abbas kerana alim dalam bidang ilmu Feqah yang merangkumi mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah selama 8 tahun ketika usianya baru 14 tahun.

Dari Makkah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat ketika berusia 22 tahun. Selepas pulang ke tanah air, empat tahun kemudian beliau pergi semula ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama setahun pada 1938. Berdasarkan catatan dalam ruangan Sejarah dan Tokoh Tempatan Terengganu, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, To' Guru Haji Abbas memang terkenal dengan berpegang kepada prinsipnya iaitu hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah.

Beliau membuktikan prinsip ilmu wajib dikembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya yang dinamakan Jamiah Diniah. Bersama beberapa ulama lain, beliau membuka sebuah lagi pondok di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, seterusnya membuka Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut.

Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut saja, malah melewati sempadan Bukit Yong di Kelantan dengan membuka beberapa buah pondok mulai 1945. Dari Kelantan, beliau berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring hingga sekolah itu menjadi terkenal di Terengganu dan seluruh negara amnya.

Keistimewaan To’ Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan. Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah pada Tahun Hijrah 1409. Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

Seorang bekas pelajar SMKA Tok Jiring, Ahmad Saiful Abdullah, berkata beliau bersama rakan sekolahnya sering mengadakan bacaan tahlil setiap tahun sempena memperingati jasa serta sumbangan pengasas sekolah mereka.

“Itulah saja tanda penghargaan kami kepada tokoh agama itu, iaitu mendoakan rohnya diberkati kerana jasanya terlalu besar dalam melahirkan generasi muda berilmu. Sewajarnya diadakan satu sesi penceritaan sumbangan To’ Guru Haji Abbas kepada pelajar di sekolah menjelang Maal Hijrah,” katanya.

Usaha murninya melihat ramai anak watan Terengganu menuntut ilmu melalui usaha menggalakkan pembelajaran agama berterusan sehingga ke akhir hayatnya selepas kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997. Berkat usahanya, seorang daripada 15 anaknya iaitu Abdul Aziz meneruskan kegiatan sekolah pondok sebagai kesinambungan mengembangkan pengajian Islam di Terengganu.


INFO: Tokoh Agama

*Tok Guru Haji Abbas dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu pada 1990

*Diisytiharkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional pada 16 Mei 1991.

*Terbabit aktif dalam politik dan pernah dilantik sebagai senator selama enam tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal 60-an.

Sunday, April 27, 2008

Pelajar Cemerlang Dedah Rahsia Kejayaan



KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Pelajar terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan, Rabiatul Adawiah A. Basir berkata beliau tidak pernah berasa gugup ketika menghadapi peperiksaan kerana telah bersedia sejak awal lagi.

Anak sulung daripada lima beradik dari Sekolah Menengah Agama Tok Jiring dekat sini, berkata beliau mengambil masa antara tiga dan empat jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran dan tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

"Saya tidak pernah memasuki kelas tuisyen di luar sekolah. Saya belajar secara berkumpulan dengan kawan-kawan sekelas," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Agama Tok Jiring.

Rabiatul Adawiah muncul pelajar terbaik peringkat kebangsaan dalam PMR tahun ini selepas memperolehi gred A dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambilnya.

Beliau yang meminati Bahasa Arab dan bercita-cita menjadi doktor berkata, tiada formula khusus baginya menghadapi PMR selain memberikan lebih tumpuan semasa guru mengajar di samping tidak meninggalkan solat serta mentaati kedua ibu bapanya.

Sementara itu rakan sekelasnya sejak di sekolah rendah lagi yang juga merupakan antara 54 pelajar cemerlang peringkat kebangsaan, Zuriati Afifah Mohamad pula melahirkan rasa syukur kerana beroleh kejayaan pada peperiksaan itu.

"Saya juga bercita-cita menjadi doktor suatu hari nanti," kata anak kedua kepada pasangan guru agama yang turut memperolehi 9A dalam peperiksaan itu.

Pelajar itu yang tinggal di Kampung Tok Jiring, berkata beliau sering belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama Rabiatul Adawiah.

Di KUCHING, pembelajaran konsisten serta pengurusan masa yang baik adalah faktor utama kejayaan Mohd Akmal Mohd Syafiq Suresh untuk muncul pelajar paling cemerlang antara 30 pelajar cemerlang di seluruh negara yang mendapat keputusan 8A.

"Saya tiada strategi khusus cuma saya beruntung bersekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah (SM) Alam Shah, Putrajaya yang sudah mempunyai jadual harian yang perlu diikuti setiap hari," katanya kepada Bernama.

Pelajar itu yang tinggal di Kabong, Bahagian Betong, kira-kira lima jam perjalanan dari sini, berkata, selepas PMR, beliau ingin menumpukan usaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Akmal yang bersekolah di SM Alam Shah sejak tahun 2003 di bawah tajaan Yayasan Sarawak dalam program Intergrasi Pelajar dan bercita-cita menjadi doktor berkata, pengajaran subjek Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris tidak membebankan.

Sementara itu kejayaan Ilmy Dajai mencapai keputusan 7A mencipta sejarah tersendiri bagi Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Dato Patinggi Haji Gapor (DPHG).

Pengetua sekolah itu Hasanah Junaidi berkata, sejak sekolah tersebut dibuka pada tahun 1973, belum ada mana-mana pelajar mencatat keputusan cemerlang 7A dalam PMR.

"Saya berharap kejayaan Ilmy akan memberi perangsang kepada pelajar lain sekolah ini," katanya.

Ilmy yang merupakan antara 10 pelajar cemerlang di seluruh negara yang mendapat keputusan 7A, berkata pembahagian masa yang seimbang adalah punca kepada kejayaan cemerlangnya.

"Saya banyak buat kerja rumah dan mengulang kaji dari pukul 8 hingga 10 malam setiap hari," katanya.

Di JOHOR BAHARU, calon paling cemerlang yang mendapat keputusan 7A, Tay Su Ann berkata beliau tidak pernah mempunyai jadual pembelajaran yang ketat dalam menghadapi peperiksaan itu.

Su Ann ketika ditemui di perkarangan sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent berkata beliau hanya mengulang kaji pelajaran mengikut waktu yang dirasakan sesuai malah masa yang terluang sering digunakan untuk menonton televisyen, membaca buku cerita dan melayari Internet.

Menceritakan rahsia kecemerlangannya, anak bongsu dari tiga beradik ini berkata dia lebih suka belajar bersendirian yang ternyata lebih memberi tumpuan berbanding belajar secara berkumpulan.

Su Ann turut mengikuti kelas tuisyen di luar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana menurutnya:" Tuisyen Bahasa Inggeris amat perlu lebih-lebih lagi subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ini".

Saturday, April 26, 2008

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah


KHAMIS - Kejohanan merentas desa peingkat sekolah telah diadakan anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring.Acara ini telah dipelopori oleh pelajar lelaki.Acara ini telah terbahagi kepada tiga kategori iaitu,tingkatan satu,L2 bagi tingkatan dua dan tiga dan L1 bagi tingkatan empat dan lima.Kejohanan bermula kira-kira pukul 8.30 pagi.

Kejohanan dimulai dengan acara memanas badan.Larian bermula apabila wisel dibunyikan.Sebelum acara merentas desa dimulakan satu tazkirah telah disampaikan oleh YM Ustaz Che Ku Mah Hussin. Pelajar perempuan juga tidak terlepas peluang menyertai acara senamrobik yang diadakan di padang sekolah.Kira-kira jam 12.00 tengah hari bertempat di Dewan Darul Ilmi,acara kemuncak kejohanan telah diadakan.

Acara penyampaian hadiah buat peserta merentas desa yang telah memenangi pertandingan ini.Majlis penyampaian hadiah telah diramsikan oleh Penolong Kanan 1,Ustaz Awi Bin Salleh.Juara keseluruhan untuk pertandingan merentas desa pada kali ini disandang oleh rumah merah,diikiuti oleh rumah kuning,hijau dan biru.Anda boleh melihat sedikit gambar yang diambil semasa aktiviti ini dijalankan di Galeri laman web ini.

Majlis Tadarus Al-Quran dan Ihtifal 2008


Khamis,6 Mac 2008- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring telah menyambut sebuah majlis penting dalam kalendar sesebuah sekolah iaitu Majlis Tadarus Al-Quran dan Ihtifal peringkat sekolah. Antara pertandingan yang diadakan sempena majlis tersebut adalah
tilawah Al-Quran lelaki dan perempuan, hafazan lelaki dan perempuan, Kalimatus Sobah (ucapan pagi), Al-Hiwar (perbualan atau drama), Ikhtibaruz Zaka’ (kuiz), Khitobah (syarahan) ,Addinu Khitobah (syarahan agama), dan Riwayatul Qisas (bercerita). Pertandingan-pertandingan ini telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi dan dijalankan di bawah seliaan guru-guru yang bertugas di tempat-tempat yang telah ditetapkan. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan tersebut telah dibahagikan mengikut kelas untuk menonton pertandingan-pertandingan yang diadakan. Tepat pada jam 12.30 tengahari,semua pelajar telah diarahkan untuk berkumpul di dalam Dewan Abbas bagi menyaksikan majlis perasmian penutup Majlis Tadarus Al-Quran dan Ihtifal ini serta penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang diadakan. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Encik Harun Mohamad. Dalam ucapan tersebut, beliau ada menyatakan objektif Majlis Tadarus Al-Quran dan Ihtifal diadakan iaitu antaranya adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan para pelajar, melahirkan pelajar yang beriman,berilmu dan beramal yang cemerlang dalam pelajaran Al-Quran, mengumpulkan semangat kerjasama antara guru dan pelajar semasa menguruskan perlaksanaan majlis ini dan juga bagi merealisasikan agenda kerajaan yang ingin melahirkan pelajar yang dapat menjadi pemimpin yang disegani dan dapat dijadikan suri teladan. Majlis ini juga diadakan bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang diperkenalkan kerajaan yang mengetengahkan generasi Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik. Beliau turut memaklumkan bahawa penyertaan pelajar-pelajar dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan akan menyumbang markah dalam sistem 10% pelajar tersebut. Seterusnya, peserta yang menang dalam pertandingan yang disertai akan dipertimbangkan untuk dijadikan wakil sekolah dalam Majlis Tadarus Al-Quran dan Ihtifal peringkat seterusnya yang akan diadakan dalam bulan April. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Berusaha Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Encik Harun Mohamad dan juga Yang Beusaha Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Encik Kamarulzaman Ismail kepada pemenang-pemenang. Majlis bersurai pada pukul 1.30 petang dan diteruskan dengan solat Zohor di Musolla An-Naim. Pelajar-pelajar dibenarkan pulang selepas menunaikan solat Zohor.

Pertandingan Kawad Kaki 2008



Selasa,25 Mac 2008- Pertandingan kawad kaki peringkat sekolah telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring pada hari tersebut. Pertandingan ini dijalankan di dua buah stesen iaitu di Dataran Fikrah bagi pelajar putera dan di padang asrama putera bagi pelajar puteri. Setiap pasukan beruniform iaitu Persatuan Kadet Bomba, Persatuan Kadet Bersatu Malaysia, Persatuan Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Pengakap, Persatuan Kadet Polis,Pergerakan Puteri Islam, Persatuan Pandu Puteri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia telah menghantar platun masing-masing dalam pertandingan ini. Acara pertandingan ini telah dihakimi oleh beberapa orang guru dari beberapa aspek antaranya ialah kawad dinamik dan dari segi keunikan formasi masing-masing.

Hujan renyai-renyai pada hari tersebut langsung tidak mematahkan semangat setiap ahli platun dalam memberikan persembahan terbaik bagi pasukan masing-masing. Para pelajar telah diberi taklimat ringkas tentang perjalanan pertandingan oleh Encik Mohd Taha,Ustaz Syed Syukri dan Encik Kamarulzaman Ismail terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran pertandingan. Acara pertandingan kawad kaki ini dimulakan pada jam 8.45 pagi dan berakhir sekitar jam 10.45 pagi. Selepas pertandingan berakhir, semua pelajar masuk ke kelas masing-masing bagi meneruskan jadual pembelajaran seperti biasa. Acara pertandingan kawad kaki seperti ini amat penting untuk dilaksanakan di setiap sekolah. Selain dapat menyumbang markah dalam rekod kokurikulum pelajar yang mengambil bahagian, acara ini juga dapat memupuk semangat kerjasama antara pelajar bagi memastikan kemantapan persembahan mereka.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Sabtu, 5 April 2008- Sempena sambutan Maulidur Rasul yang lepas, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring telah mengadakan satu sambutan di Dewan Abbas sempena meraikan hari kelahiran insan teragung yang disanjungi oleh seluruh umat Islam. Majlis ini telah diadakan pada pukul 11.00 pagi selepas majlis penyampaian hadiah pada sebelah pagi diadakan.

Pihak sekolah telah menjemput seorang penceramah yang berpengalaman dari Universiti Darul Iman iaitu Ustaz Syahrin bagi menyampaikan ceramah sempena sambutan ini. Beliau telah menayangkan beberapa video yang mampu menarik perhatian para pelajar untuk mendapatkan info-info menarik sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Sebelum ceramah berakhir, semua pelajar telah mengalunkan selawat ke atas Rasulullah SAW sempena kelahiran baginda. Ceramah sempena sambutan ini telah berakhir pada pukul 1.00 tengahari. Selepas majlis berakhir,semua pelajar bergerak ke Musolla An-Naim untuk solat Zohor berjemaah.

Majlis Watikah Perlantikan Pemimpin Murid SMKA Tok Jiring 2008




Rabu,9 April 2008-Tepat pada pukul 7.20 pagi, barisan pemimpin-pemimpin murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring yang terdiri daripada Ahli Majlis Pemimpin Pelajar, Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan juga Pembimbing Rakan Sebaya masuk ke Dewan Abbas bagi mengikuti Majlis Watikah Perlantikan Pemimpin Murid SMKA Tok Jiring tahun 2008.

Antara jemputan khas yang hadir pada majlis ini adalah Pegawai Pemerintah Batalion Sembilan, Pasukan Gerakan Am Gong Badak, Kuala Terengganu iaituYang Berbahagia Tuan Supt Kamaruddin bin Yusoff, Yang Berusaha Tuan Haji Mustafa Abdul Rahman mewakili Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan juga Yang Berusaha Prof IR Ahmad Jusoh merangkap Yang Dipertua PIBG SMKA Tok Jiring, Majlis ini dimulakan dengan acara perbarisan yang disertai oleh 61 orang pemimpin murid mewakili ketiga-tiga badan kepimpinan di SMKA Tok Jiring .Yang berbahagia Tuan Supt Kamaruddin bin Yusoff telah memulakan majlis ini dengan memeriksa barisan di Dataran Fikrah. Majlis dimulakan di dalam Dewan Abbas dengan nyanyian lagu Negaraku dan Selamat Sultan. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Pemimpin Pelajar SMKA Tok Jiring 2008, Ahmad Muzamil Mohamad diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha Tuan Pengetua SMKA Tok Jiring, Puan Hajah Zakiah binti Salleh dan diikuti oleh ucapan Yang Berusaha Tuan Supt Kamaruddin bin Yusoff. Sebaik sahaja selesai ucapan beliau, acara penyampaian watikah perlantikan kepada pemimpin-pemimpin murid dimulakan. Acara penyampaian oleh Tuan Supt Kamaruddin bin Yusoff ini dimulai dengan penyampaian watikah perlantikan kepada seramai 71 orang Ahli Majlis Pemimpin Pelajar bukan asrama, 48 orang Ahli Majlis Pemimpin Pelajar asrama, 82 orang Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan diikuti dengan 63 orang Pembimbing Rakan Sebaya. Selepas itu, ahli Majlis Pemimpin Pelajar iaitu Mohd Izzat Ismail mengetuai bacaan ikrar kepada semua barisan pemimpin-pemimpin murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring. Majlis ini berakhir dengan jamuan makan kepada barisan pemimpin-pemimpin murid dan juga selepas acara penggambaran kira-kira pada pukul 10.00 pagi.

Lagu Sekolah

Madrasah Tok Jiring sekolah kami,
Saban hari kau kami kunjungi,
Mendidik kami ilmu dan adab,
Sedari kecil segalanya dimulakan,
Sekolah kami...

Kau bonda kami… kekasih kami,
Kau tunjukkanlah jalan ke syurga,
Kau bonda kami… sekolah kami,
Kekasih kami…

Kau disanubari,
Subur bersama hidup kami,
Tanpamu kami takkan jadi insan,
Berilmu, beradab, pintar dan ikhlas,
Kami sayang…selamanya…

Thursday, April 24, 2008

search

 
SMKA TOK JIRING - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger